Tuesday, June 15, 2004

APAKAH KERAJAAN TIDAK BERCADANG UNTUK MEMBAIK PULIH RUMAH KOS RENDAH

Dewan Negara. Selasa, 15 Jun 2004
Dato’ Omar bin Faudzar minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan, apakah pihak kerajaan tidak bercadang untuk membaik pulih rumah-rumah kos rendah yang telah dibina oleh kerajaan sejak 10 hingga 20 tahun dahulu yang hanya mempunyai sebuah bilik tidur sahaja agar ianya lebih selesa untuk diduduki.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Dato’ Seri Ong Ka Ting]: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membina rumah kos rendah melalui pelbagai program seperti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Skim Pertapakan dan Kemudahan Asas (SPKA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa dan untuk dibeli.

Projek-projek yang telah disiapkan akan diserahkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk dikawal selia dan diselenggarakan sewajarnya. Tanggungjawab untuk membaik pulih rumah-rumah kos rendah terutamanya rumah-rumah pangsa adalah terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Pihak kementerian bersedia untuk memberi bantuan teknikal dan khidmat
nasihat jika mendapat permintaan daripada kerajaan-kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan untuk membaik pulih rumah-rumah pangsa kos rendah. Kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan perumahan yang lebih selesa, berkualiti dan mampu dimiliki atau disewa oleh golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan rumah kos rendah yang mempunyai keluasan minimum 650 kaki persegi yang mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Dato’ Omar bin Faudzar: Tuan Yang di-Pertua, soalan saya adakah Kerajaan Pusat ataupun kementerian berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri mengenai rumah-rumah pangsa yang mempunyai satu bilik dengan keluasan lebih kurang 460 kaki persegi hingga 500 kaki persegi sebab ini adalah satu masalah yang paling kita takuti sebab kebanyakan di kawasan-kawasan rumah pangsa yang mempunyai satu bilik dengan keluasan lebih kurang 500 kaki persegi, banyak masalah sosial, masalahmasalah dadah dan kelemahan-kelemahan pendidikan di kawasan-kawasan ini. Adakah kerajaan ataupun kementerian berbincang dengan kerajaan negeri mengenai masalah-masalah ini?

Dato' Seri Ong Ka Ting: Tuan Yang di-Pertua, memang ada rundingan yang formal dan tak formal sentiasa dijalankan terutamanya Majlis Perumahan Negara dipengerusikan oleh Menteri iaitu saya sendiri di mana semua Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri adalah anggota dalam majlis itu telah pun mengadakan rundingan mengenai apa-apa sahaja dasar ataupun garis paduan.

Tadi saya kata, bagi standard perumahan kebangsaan bagi rumah kos rendah telah pun ditetapkan mulai 1998. Maknanya semua kerajaan negeri kena ikut kecuali kelulusan bagi projek-projek perumahan yang sebelum itu. Saya difahamkan ada negeri-negeri tertentu masih bina pada masa itu sebelum tahun 2000 telah diluluskan dengan projek yang keluasan lantainya 500 kaki persegi dan rundingan itu bukan sahaja diadakan, apabila garis panduan sudah dikeluarkan adalah menjadi kewajipan kerajaan-kerajaan negeri mematuhi garis panduan yang tersebut.

Dato’ Omar bin Faudzar: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya,
bagaimanakah siaran dibuat mengenai hasrat kerajaan untuk menjual saham-saham Khazanah.

Dan kedua, adakah kerajaan berhasrat untuk memecahkan penjualan saham-saham ini, maksud saya sekiranya kerajaan berhasrat untuk menjual lima peratus saham milik kerajaan, adakah kerajaan berhasrat ataupun bercadang untuk memecah saham-saham ini kepada 2 peratus, 1 peratus ataupun 3 peratus, supaya ini akan memberi peluang kepada rakyat kita sendiri ahli-ahli perniagaan dalam negara kita sendiri mampu untuk membeli saham-saham milik kerajaan.

Dan yang ketiga, adakah saham Telekom yang telah dijualkan kepada Tumasek disiarkan dan ditawarkan kepada syarikat tempatan. Terima kasih.

Dato’ Dr. Hilmi bin Yahaya: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Omar Faudzar. Tentang soalan bagaimana kerajaan akan menjual ataupun pihak MKD akan menjual syarikat ini kepada, ataupun Khazanah Nasional akan menjual sahamnya kepada pihak-pihak lain dan juga ekuitinya yang akan dijual, ini saya kira adalah terpulang kepada Lembaga Pengarah yang baru, yang telah dilantik yang mana CEOnya ialah Saudara Azman Mokhtar dan saya yakin mereka akan mengadakan garis panduan yang tersendiri untuk perkara ini. Saham Telekom Malaysia yang dicadangkan untuk dijual kepada Sinctel, saya tidak ada maklumat pada masa ini dan saya memerlukan notis untuk perkara ini.