Wednesday, May 04, 2005

KONSEP PAYUNG TIDAK MENGUNTONGKAN KONTRAKTOR KECIL

Dewan Negara, Rabu, 4 Mei 2005
Dato’ Omar bin Faudzar: Yang Berhormat, minta laluan.

Datuk Haji Roslan bin Awang Chik: Ya.

Dato’ Omar bin Faudzar: Saya ingin bertanya sedikit tentang Konsep Payung yang digunakan oleh kerajaan, iaitu kita bagi kepada satu kontraktor besar dan diharapkan kontraktor-kontraktor ini “sub”kan kerja-kerja lain itu kepada kontraktor-kontraktor kecil. Tetapi dari segi kos, kalau kita gunakan Konsep Payung, kontraktor besar ini ia akan mengambil untung atas setiap subkontrak ini dan subkontrak ini juga tidak perlu mengambil untung. Jadi kos sudah tentulah akan melambung naik.

Apa pendapat Yang Berhormat kalaulah katakan kita pecahkan kontrak-kontrak itu dijadikan kontrak-kontrak yang kecil-kecil supaya kita bagi kepada semua orang, tidak melalui satu kontraktor sahaja supaya kita dapat menurunkan kos, itu satu. Dan yang kedua, tadi soalan Yang Berhormat kepada menteri iaitu tentang final account.

Yang Berhormat ada bertanya tentang final account ini bila kita hendak close dan sebagainya dan jawapan daripada menteri tadi ialah final account akan ditutup selepas defect liability period, sedangkan kita tahu dalam setiap tender ataupun kontrak, dia ada stakeholders yang disimpan oleh kerajaan selama mungkin 2 tahun atau 3 tahun atau kalau tidak ada stakeholders, the performance bond.

Jadi ini adalah wang yang akan digunakan semasa defect liability period dan selalunya final account ini dibuat sebelum ataupun semasa penyerahan projek-projek yang telah siap, kita dapat CPC daripada arkitek ataupun jurutera, kita boleh buat final account.

Tetapi sehingga ke hari ini, apa yang saya dimaklumkan daripada menteri tadi, saya rasa satu jawapan yang agak berlainan kerana final account katanya dibuat selepas defect liability period. Itu yang kedua.

Dan yang ketiga, kita hendak bantu kontraktor dan banyak kontraktor ini, khususnya kontraktor-kontraktor bumiputera banyak bergantung kepada projek-projek kerajaan. Bila dia bergantung kepada projek-projek kerajaan, kadang-kadang kita tengok dia punya defect liability period, dengan izin, terlalu panjang, hampir tiga tahun, ada dua tahun, ada tiga tahun.

Jadi bila ada defect liability period yang dipegang selama tiga tahun, maka kontraktor terpaksa menanggung 5% yang sebenarnya keuntungan kepada kontraktor itu dipegang oleh kerajaan selama tempoh tiga tahun.

Duit itu tidak boleh dipakai. Selepas tempoh defect liability period, barulah duit itu boleh kita guna pakai. Sedangkan kalau kita perhati betul-betul tempoh defect liability period ini tidak semestinya kita katakan tiga tahun, setahun pun kita sudah boleh nampak. Kadang-kadang 10 tahun baru kita nampak. Jadi kontraktor terpaksa menanggung untung yang dia dapat itu dia terpaksa tunggu tiga tahun, baru dia boleh dapat. Apa pendapat Yang Berhormat?

Datuk Haji Roslan bin Awang Chik: Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, saya percaya Yang Berhormat sedikit sebanyak mengetahui dan fasih di dalam hal-hal kontrak ini dan mengikuti perkembangan-perkembangan rancangan-rancangan kerajaan di dalam Sistem Payung ataupun ikatan kontrak dalam defect liability period ataupun DLP ataupun kontrak kerajaan yang telah dijalankan sekarang ini
iaitu final account.

Di dalam sistem payung ini, satu ketika dahulu menjadi satu sistem yang telah dipakai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dalam menjalankan kerja-kerja jalan kampung yang telah diberikan kepada satu kontraktor induk dan diubahsuai selepas itu, bertukarnya Menteri, ubahsuainya kepada sistem yang lain tetapi berkonsepkan yang sama, memberi kontraktor pelaksana dan kontraktor induk.

Saya mengetahui bahawa konsep ini ada baik dan ada buruknya. Konsep payung, yang baiknya ialah dari segi pihak kerajaan dapat mengurangkan tingkah laku dengan kontraktor-kontraktor yang ramai, hanya ambil satu orang kontraktor sahaja dalam satu negeri itu untuk menyelenggarakan kesemua kontrak yang ada.

Yang buruknya, banyak iaitu yang pertama sekali kontraktor-kontraktor kecil tidak mendapat harga yang baik, kontraktor-kontraktor kecil boleh ditindas, kontraktor-kontraktor kecil mungkin tidak dibayar setimpal dengan apa yang telah dibuat kerjanya.

Oleh yang demikian, sekarang ini saya percaya pihak kerajaan telah pun ubahsuaikan kerja-kerja ini sekarang dan sekarang ini saya masih lagi menunggu apakah sistem terbaru pula yang akan dikendalikan oleh pihak kerajaan di dalam menjalankan kerja jalan-jalan kampung.

Penjelasan yang keduanya ialah defect liability period iaitu tempoh kecacatan; ada yang sepuluh tahun, ada yang satu tahun. Saya tidak dengar lagi yang tiga tahun, yang lima tahun ada iaitu ia tidak dipanggil defect liability period tetapi dipanggil design guarantee, design-build punya sekolah mesti memberi tempoh design tadi selama lima tahun.

Defect liability period masih tertakluk kepada dua tahun. Saya tidak nafikan bahawa pandangan Yang Berhormat tadi bahawa cara ini akan mengikatkan jumlah wang yang ada dengan sepatutnya yang diterima oleh pihak kontraktor dipegang oleh pihak kerajaan.
Tetapi, secara puratanya kerajaan tidaklah sebegitu zalim, ia memberi juga kepada kontraktor laluan supaya memberi bank guarantee supaya ditukarkan dengan wang yang telah diikat oleh pihak kerajaan.

Yang seterusnya ialah saya menjangkakan jawapan Kementerian Pelajaran pagi tadi bahawa final account ini merupakan salah satu yang akan dibuat selepas daripada defect liability period. Ia betul oleh kerana apabila segala kecacatan yang ada kepada bangunan itu sudah tentu mesti dibaiki dahulu barulah final account itu boleh dibuat.

Tetapi di sini ingin saya mencelah, Tuan Yang di-Pertua bahawa final account merupakan salah satu benda yang akan memudaratkan kontraktor. Ada saya memberi contoh final account yang sampai lima hingga, tujuh tahun yang masih tidak dapat diselesaikan.

Ini berasaskan kepada beberapa perkara dan mengikut pengalaman yang telah saya lalui, ada sampai tujuh, lapan tahun masih lagi final account ini, akaun muktamad ini tidak dapat dijelaskan disebabkan oleh beberapa faktor yang di luar dugaan ataupun tidak dirasai oleh pihak kementerian itu sendiri.

Sebagai contoh, kalau kita ambil Kementerian Kerja Raya. Apabila sesuatu kontrak itu tamat, habis dilaksanakan di peringkat fizikalnya, timbullah peringkat yang non fizikal supaya mereka ini menamatkan kontrak pada akaun muktamad. Tetapi untuk menamatkan akaun muktamad ini, maka ia memerlukan sejarah (history) of the project.

Untuk mendapatkan sejarah projek ini perlulah kepada superintending officer dan kebanyakannya, lazimnya berlaku apabila tamat sesuatu kontrak itu, superintending officer ini, engineer ini akan bertukar kepada projek yang lain, maka sejarah projek ini sudah tentu tidak dapat diketahui dan ia akan menjadi dari satu hari ke satu hari, dari satu minggu ke satu minggu, satu bulan sampai bertahun-tahun, barulah ia boleh dan tidak tahu apakah sejarah yang seterusnya.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home