Thursday, May 05, 2005

MINTA MENTERI KEWANGAN MENYATAKAN KESAN...

Dewan Negara, Khamis, 5 Mei 2005
Dato’ Omar bin Faudzar minta Menteri Kewangan menyatakan kesan terhadap industri kewangan dan hartanah apabila pihak bank melelong pinjaman hartanah yang tidak berbayar pada kadar 50% lebih rendah daripada harga pasaran berikutan dengan garis panduan bagi ‘Property Collateral NPL’ yang dikeluarkan oleh Bank Negara.

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan [Dato’ Seri Dr. Hilmi bin Yahaya]: Tuan Yang di-Pertua, Bank Negara Malaysia tidak menetapkan sebarang kadar atau potongan daripada harga pasaran yang perlu dipatuhi apabila institusi-institusi perbankan melelong harta tanah yang dijadikan cagaran bagi pinjaman tidak berbayar. Untuk meminimumkan kerugian berikutan pinjaman tidak berbayar, institusi-institusi perbankan akan berusaha untuk mendapatkan harga lelongan yang paling tinggi bagi cagaran mereka.

Tuan Yang di-Pertua: Terlalu teknikal untuk soalan tambahan.

Wednesday, May 04, 2005

KONSEP PAYUNG TIDAK MENGUNTONGKAN KONTRAKTOR KECIL

Dewan Negara, Rabu, 4 Mei 2005
Dato’ Omar bin Faudzar: Yang Berhormat, minta laluan.

Datuk Haji Roslan bin Awang Chik: Ya.

Dato’ Omar bin Faudzar: Saya ingin bertanya sedikit tentang Konsep Payung yang digunakan oleh kerajaan, iaitu kita bagi kepada satu kontraktor besar dan diharapkan kontraktor-kontraktor ini “sub”kan kerja-kerja lain itu kepada kontraktor-kontraktor kecil. Tetapi dari segi kos, kalau kita gunakan Konsep Payung, kontraktor besar ini ia akan mengambil untung atas setiap subkontrak ini dan subkontrak ini juga tidak perlu mengambil untung. Jadi kos sudah tentulah akan melambung naik.

Apa pendapat Yang Berhormat kalaulah katakan kita pecahkan kontrak-kontrak itu dijadikan kontrak-kontrak yang kecil-kecil supaya kita bagi kepada semua orang, tidak melalui satu kontraktor sahaja supaya kita dapat menurunkan kos, itu satu. Dan yang kedua, tadi soalan Yang Berhormat kepada menteri iaitu tentang final account.

Yang Berhormat ada bertanya tentang final account ini bila kita hendak close dan sebagainya dan jawapan daripada menteri tadi ialah final account akan ditutup selepas defect liability period, sedangkan kita tahu dalam setiap tender ataupun kontrak, dia ada stakeholders yang disimpan oleh kerajaan selama mungkin 2 tahun atau 3 tahun atau kalau tidak ada stakeholders, the performance bond.

Jadi ini adalah wang yang akan digunakan semasa defect liability period dan selalunya final account ini dibuat sebelum ataupun semasa penyerahan projek-projek yang telah siap, kita dapat CPC daripada arkitek ataupun jurutera, kita boleh buat final account.

Tetapi sehingga ke hari ini, apa yang saya dimaklumkan daripada menteri tadi, saya rasa satu jawapan yang agak berlainan kerana final account katanya dibuat selepas defect liability period. Itu yang kedua.

Dan yang ketiga, kita hendak bantu kontraktor dan banyak kontraktor ini, khususnya kontraktor-kontraktor bumiputera banyak bergantung kepada projek-projek kerajaan. Bila dia bergantung kepada projek-projek kerajaan, kadang-kadang kita tengok dia punya defect liability period, dengan izin, terlalu panjang, hampir tiga tahun, ada dua tahun, ada tiga tahun.

Jadi bila ada defect liability period yang dipegang selama tiga tahun, maka kontraktor terpaksa menanggung 5% yang sebenarnya keuntungan kepada kontraktor itu dipegang oleh kerajaan selama tempoh tiga tahun.

Duit itu tidak boleh dipakai. Selepas tempoh defect liability period, barulah duit itu boleh kita guna pakai. Sedangkan kalau kita perhati betul-betul tempoh defect liability period ini tidak semestinya kita katakan tiga tahun, setahun pun kita sudah boleh nampak. Kadang-kadang 10 tahun baru kita nampak. Jadi kontraktor terpaksa menanggung untung yang dia dapat itu dia terpaksa tunggu tiga tahun, baru dia boleh dapat. Apa pendapat Yang Berhormat?

Datuk Haji Roslan bin Awang Chik: Terima kasih Yang Berhormat. Tuan Yang di-Pertua, saya percaya Yang Berhormat sedikit sebanyak mengetahui dan fasih di dalam hal-hal kontrak ini dan mengikuti perkembangan-perkembangan rancangan-rancangan kerajaan di dalam Sistem Payung ataupun ikatan kontrak dalam defect liability period ataupun DLP ataupun kontrak kerajaan yang telah dijalankan sekarang ini
iaitu final account.

Di dalam sistem payung ini, satu ketika dahulu menjadi satu sistem yang telah dipakai oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dalam menjalankan kerja-kerja jalan kampung yang telah diberikan kepada satu kontraktor induk dan diubahsuai selepas itu, bertukarnya Menteri, ubahsuainya kepada sistem yang lain tetapi berkonsepkan yang sama, memberi kontraktor pelaksana dan kontraktor induk.

Saya mengetahui bahawa konsep ini ada baik dan ada buruknya. Konsep payung, yang baiknya ialah dari segi pihak kerajaan dapat mengurangkan tingkah laku dengan kontraktor-kontraktor yang ramai, hanya ambil satu orang kontraktor sahaja dalam satu negeri itu untuk menyelenggarakan kesemua kontrak yang ada.

Yang buruknya, banyak iaitu yang pertama sekali kontraktor-kontraktor kecil tidak mendapat harga yang baik, kontraktor-kontraktor kecil boleh ditindas, kontraktor-kontraktor kecil mungkin tidak dibayar setimpal dengan apa yang telah dibuat kerjanya.

Oleh yang demikian, sekarang ini saya percaya pihak kerajaan telah pun ubahsuaikan kerja-kerja ini sekarang dan sekarang ini saya masih lagi menunggu apakah sistem terbaru pula yang akan dikendalikan oleh pihak kerajaan di dalam menjalankan kerja jalan-jalan kampung.

Penjelasan yang keduanya ialah defect liability period iaitu tempoh kecacatan; ada yang sepuluh tahun, ada yang satu tahun. Saya tidak dengar lagi yang tiga tahun, yang lima tahun ada iaitu ia tidak dipanggil defect liability period tetapi dipanggil design guarantee, design-build punya sekolah mesti memberi tempoh design tadi selama lima tahun.

Defect liability period masih tertakluk kepada dua tahun. Saya tidak nafikan bahawa pandangan Yang Berhormat tadi bahawa cara ini akan mengikatkan jumlah wang yang ada dengan sepatutnya yang diterima oleh pihak kontraktor dipegang oleh pihak kerajaan.
Tetapi, secara puratanya kerajaan tidaklah sebegitu zalim, ia memberi juga kepada kontraktor laluan supaya memberi bank guarantee supaya ditukarkan dengan wang yang telah diikat oleh pihak kerajaan.

Yang seterusnya ialah saya menjangkakan jawapan Kementerian Pelajaran pagi tadi bahawa final account ini merupakan salah satu yang akan dibuat selepas daripada defect liability period. Ia betul oleh kerana apabila segala kecacatan yang ada kepada bangunan itu sudah tentu mesti dibaiki dahulu barulah final account itu boleh dibuat.

Tetapi di sini ingin saya mencelah, Tuan Yang di-Pertua bahawa final account merupakan salah satu benda yang akan memudaratkan kontraktor. Ada saya memberi contoh final account yang sampai lima hingga, tujuh tahun yang masih tidak dapat diselesaikan.

Ini berasaskan kepada beberapa perkara dan mengikut pengalaman yang telah saya lalui, ada sampai tujuh, lapan tahun masih lagi final account ini, akaun muktamad ini tidak dapat dijelaskan disebabkan oleh beberapa faktor yang di luar dugaan ataupun tidak dirasai oleh pihak kementerian itu sendiri.

Sebagai contoh, kalau kita ambil Kementerian Kerja Raya. Apabila sesuatu kontrak itu tamat, habis dilaksanakan di peringkat fizikalnya, timbullah peringkat yang non fizikal supaya mereka ini menamatkan kontrak pada akaun muktamad. Tetapi untuk menamatkan akaun muktamad ini, maka ia memerlukan sejarah (history) of the project.

Untuk mendapatkan sejarah projek ini perlulah kepada superintending officer dan kebanyakannya, lazimnya berlaku apabila tamat sesuatu kontrak itu, superintending officer ini, engineer ini akan bertukar kepada projek yang lain, maka sejarah projek ini sudah tentu tidak dapat diketahui dan ia akan menjadi dari satu hari ke satu hari, dari satu minggu ke satu minggu, satu bulan sampai bertahun-tahun, barulah ia boleh dan tidak tahu apakah sejarah yang seterusnya.

Tuesday, May 03, 2005

KERAJAAN PERLU TAPIS BUDAYA BARAT DI TV

Dewan Negara, Selasa 3 Mei 2005
Dato’ Omar bin Faudzar: Terima kasih, Yang Berhormat. Apa yang diperkatakan tadi oleh rakan saya iaitu tentang budaya di mana kita tahu ibu bapa kita dahulu memang kita menghormati mereka.

Sebab apa? Sebab pada ketika itu kita masih lagi tidak terikut dengan budaya Barat. Apabila sampai ke tahap kita, sudah menjadi seorang bapa ataupun sebagai seorang ibu, anak-anak kita sudah mula terikut-ikut dengan budaya Barat.

Punca kita terikut-ikut dengan budaya Barat adalah daripada diri kita sendiri. Kalau kita tengok dalam kaca TV sekarang budaya-budaya yang ditunjukkan dalam Astro, budaya-budaya yang ditunjuk di dalam TV3 dan sebagainya adalah satu budaya yang tidak elok.

Jadi, ini yang patut kita bentuk dahulu barulah di bawah itu kita boleh tukarkan. Kalau di bawah itu kita hendak tukar tetapi di atas kita masih lagi membuka ruang kepada anak-anak kita untuk melihat mungkin kita tidak dapat. Apa pandangan Yang Berhormat?

Dato’ Hamzah bin Zainuddin: Terima kasih, Yang Berhormat Dato’ Omar.
Yang Berhormat Dato’ Omar ini bapa saudaranya Menteri Penerangan, yang jaga TV. Balik kampung, cuti, kenduri kendera beritahulah kepada bapa Menteri itu. [Ketawa] Cakap di dalam Dewan ini sahaja, satu bab. Saya bersetuju. Yang menjadi masalah kita pada hari ini kerana budaya luar, budaya negatif daripada negara luar telah dengan senangnya masuk meresap dalam negara kita.

Jadi, hari ini sudah menjadi satu masalah yang kritikal, sebab itu saya hendak mencadangkan supaya insan yang berilmu dan berakhlak mulia ini akan menjadi tanggungjawab kerajaan dan keseluruhan rakyat yang ada hari ini untuk menentukan generasi yang akan datang adalah benar-benar merupakan generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.

Bila kita bercakap dari segi ilmu ini kita kena tengok semua jenis ilmu. Tidak kira apa jenis pengetahuan sekali pun untuk kehidupan yang lebih baik tidak kiralah sains, sains teknologi, sejarah atau agama dan yang paling penting jangan kita lupa tentang ilmu untuk tujuan sosial dan masyarakat. Inilah yang kita sedang diperbincangkan pada hari ini. Ilmu, sosial dan masyarakat. Tiba-tiba semalam tengah duduk-duduk, cuti, kita baca news paper, keluar pula Yang Berhormat ....

Tuesday, June 15, 2004

APAKAH KERAJAAN TIDAK BERCADANG UNTUK MEMBAIK PULIH RUMAH KOS RENDAH

Dewan Negara. Selasa, 15 Jun 2004
Dato’ Omar bin Faudzar minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan, apakah pihak kerajaan tidak bercadang untuk membaik pulih rumah-rumah kos rendah yang telah dibina oleh kerajaan sejak 10 hingga 20 tahun dahulu yang hanya mempunyai sebuah bilik tidur sahaja agar ianya lebih selesa untuk diduduki.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan [Dato’ Seri Ong Ka Ting]: Tuan Yang di-Pertua, kerajaan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah membina rumah kos rendah melalui pelbagai program seperti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), Skim Pertapakan dan Kemudahan Asas (SPKA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) untuk disewa dan untuk dibeli.

Projek-projek yang telah disiapkan akan diserahkan kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk dikawal selia dan diselenggarakan sewajarnya. Tanggungjawab untuk membaik pulih rumah-rumah kos rendah terutamanya rumah-rumah pangsa adalah terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa negeri atau pihak berkuasa tempatan.

Pihak kementerian bersedia untuk memberi bantuan teknikal dan khidmat
nasihat jika mendapat permintaan daripada kerajaan-kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan untuk membaik pulih rumah-rumah pangsa kos rendah. Kerajaan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan perumahan yang lebih selesa, berkualiti dan mampu dimiliki atau disewa oleh golongan berpendapatan rendah dengan menyediakan rumah kos rendah yang mempunyai keluasan minimum 650 kaki persegi yang mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Dato’ Omar bin Faudzar: Tuan Yang di-Pertua, soalan saya adakah Kerajaan Pusat ataupun kementerian berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri mengenai rumah-rumah pangsa yang mempunyai satu bilik dengan keluasan lebih kurang 460 kaki persegi hingga 500 kaki persegi sebab ini adalah satu masalah yang paling kita takuti sebab kebanyakan di kawasan-kawasan rumah pangsa yang mempunyai satu bilik dengan keluasan lebih kurang 500 kaki persegi, banyak masalah sosial, masalahmasalah dadah dan kelemahan-kelemahan pendidikan di kawasan-kawasan ini. Adakah kerajaan ataupun kementerian berbincang dengan kerajaan negeri mengenai masalah-masalah ini?

Dato' Seri Ong Ka Ting: Tuan Yang di-Pertua, memang ada rundingan yang formal dan tak formal sentiasa dijalankan terutamanya Majlis Perumahan Negara dipengerusikan oleh Menteri iaitu saya sendiri di mana semua Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri adalah anggota dalam majlis itu telah pun mengadakan rundingan mengenai apa-apa sahaja dasar ataupun garis paduan.

Tadi saya kata, bagi standard perumahan kebangsaan bagi rumah kos rendah telah pun ditetapkan mulai 1998. Maknanya semua kerajaan negeri kena ikut kecuali kelulusan bagi projek-projek perumahan yang sebelum itu. Saya difahamkan ada negeri-negeri tertentu masih bina pada masa itu sebelum tahun 2000 telah diluluskan dengan projek yang keluasan lantainya 500 kaki persegi dan rundingan itu bukan sahaja diadakan, apabila garis panduan sudah dikeluarkan adalah menjadi kewajipan kerajaan-kerajaan negeri mematuhi garis panduan yang tersebut.

Dato’ Omar bin Faudzar: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Soalan saya,
bagaimanakah siaran dibuat mengenai hasrat kerajaan untuk menjual saham-saham Khazanah.

Dan kedua, adakah kerajaan berhasrat untuk memecahkan penjualan saham-saham ini, maksud saya sekiranya kerajaan berhasrat untuk menjual lima peratus saham milik kerajaan, adakah kerajaan berhasrat ataupun bercadang untuk memecah saham-saham ini kepada 2 peratus, 1 peratus ataupun 3 peratus, supaya ini akan memberi peluang kepada rakyat kita sendiri ahli-ahli perniagaan dalam negara kita sendiri mampu untuk membeli saham-saham milik kerajaan.

Dan yang ketiga, adakah saham Telekom yang telah dijualkan kepada Tumasek disiarkan dan ditawarkan kepada syarikat tempatan. Terima kasih.

Dato’ Dr. Hilmi bin Yahaya: Tuan Yang di-Pertua, terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Omar Faudzar. Tentang soalan bagaimana kerajaan akan menjual ataupun pihak MKD akan menjual syarikat ini kepada, ataupun Khazanah Nasional akan menjual sahamnya kepada pihak-pihak lain dan juga ekuitinya yang akan dijual, ini saya kira adalah terpulang kepada Lembaga Pengarah yang baru, yang telah dilantik yang mana CEOnya ialah Saudara Azman Mokhtar dan saya yakin mereka akan mengadakan garis panduan yang tersendiri untuk perkara ini. Saham Telekom Malaysia yang dicadangkan untuk dijual kepada Sinctel, saya tidak ada maklumat pada masa ini dan saya memerlukan notis untuk perkara ini.